Hukum-hukum Zakat

Hukum-hukum Zakat

Sebagai Rukun Islam yang ketiga, zakat adalah suatu tuntutan syarie yang wajib ditunaikan dengan sempurna dan penuh keimanan. Memang terdapat banyak sekali hujah-hujah Al-Quran, Al-Hadis dan Ijmak Ulama tentang pensyariatan zakat ini, sesuai dengan roh dan semangat zakat itu sendiri iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bertoleransi.

DALIL AL – QURAN

Antara ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan tentang wajibnya zakat itu ialah:

‘Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka’.
(At-Taubah: 103)

‘Dan dirikan sembahyang dan keluarkan zakat serta taatlah kepada Rasul, supaya kamu beroleh rahmat’. (An-Nur: 56)

Hubungan zakat dengan sembahyang adalah erat sekali hingga merupakan dua jenis ibadat yang bertali-temali di antara satu sama lain hingga tidak kurang dari 82 kali Allah menyebutkan secara beriring-iringan dengan sembahyang. Ini menunjukkan betapa eratnya hubungan antara kedua ibadat itu dalam hal pahalanya;

  • zakat, seutama-utama ibadat maliyah dan kedua sembahyang, seutama-utama ibadat badaniah.

DALIL AL – HADIS

Banyak sekali hadis yang menggambarkan tentang kewajipan berzakat ini, salah satu daripadanya:

Hadis riwayat Muslim: Terjemahan: Dari Ibn. Umar (r.a.), katanya: Rasulullah (s.a.w.) bersabda:

‘Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar, iaitu mengucap dua kalimah syahadat bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah’.