Dalil
Al-Quran
Antara
ayat-ayat al-Quran yang menerangkan tentang wajibnya
zakat itu ialah:
“Ambillah
zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu
kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan mendoalah
untuk mereka” (at-Taubah: 103)
“Dan
dirikan sembahyang dan keluarkan zakat serta taatlah
kepada Rasul, supaya kamu beroleh rahmat” (an-Nur:
56).
Hubungan zakat dengan sembahyang cukup erat sehingga
menjadi dua jenis ibadat yang saling berkaitan di
antara satu sama lain. Allah menegaskan tentang perkara
ini lebih daripada 82 kali dalam al-Quran secara beriring-iringan
dengan sembahyang. Ini menunjukkan betapa eratnya
hubungan antara kedua ibadat itu dalam hal pahalanya;
yang pertama sembahyang, seutama-utama ibadat badaniah
dan kedua zakat, seutama-utama ibadat maliyah.
Dalil Al-Hadis
Banyak
hadis yang menggambarkan tentang kewajipan berzakat
ini, antaranya hadis riwayat Muslim yang bermaksud:
“Dari Ibn. Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar,
iaitu mengucap dua kalimat syahadat bahawa sesungguhnya
tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad
itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat,
berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke
Baitullah”.
Kemudian
Rasulullah menegaskan lagi melalui perintahnya terhadap
Muaz bin Jabal, ketika dilantik sebagai Qhadi di negeri
Yaman. Sabda Nabi yang bermaksud:
“Sampaikanlah bahawa Allah S.W.T telah mewajibkan
zakat pada harta benda mereka yang dipungut dari orang-orang
kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara
mereka”. (H.R. Bukhari)
Dan
apabila seorang lelaki meminta pendapat Rasulullah
s.a.w. tentang zakat harta yang dikeluarkan, Baginda
menjawab yang bermaksud:
“Siapa yang membayar zakat hartanya bererti hilanglah
kejelekannya”.
Dalil
Ijma’
Para
ulama dan umat Islam seluruhnya telah bersepakat tentang
kewajipan berzakat. Mereka bersandarkan kepada keterangan
dari al-Kitab dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengingkari
ketetapan ini dianggap melanggar rukun Islam.
Rasulullah
s.a.w menetapkan sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Aku telah diperintahkan memerangi manusia sampai
mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat dan membayar
zakat. Seandainya mereka telah memenuhi yang demikian
itu, bererti mereka telah memelihara darah dan harta
mereka dariku, kecuali apabila melanggar peraturan
Islam, dan perhitungannya terserahlah kepada Allah”.
Sejarah
memberitahu kita bahawa rukun Islam pertama yang sempat
bergoncang sejurus selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.
ialah zakat. Orang ramai di zaman sahabat ketika itu
masih kukuh mempertahankan institusi syahadat, solat,
puasa maupun haji. Tetapi mereka enggan menunaikan
zakat. Alhamdulillah, Khalifah pertama Abu Bakar telah
berjuang memerangi siapa sahaja yang enggan menunaikan
zakat. Dengan gagah berani dia menghayunkan pedangnya
seraya bertempik “Ayanqusud diinu wa ana hayy” (Tidak
mungkin agama berkurang sedangkan saya masih hidup).
Seandainya Abu Bakar yang berhati lembut itu tidak
mapan pendiriannya pada saat itu, maka pada saat ini
perkataan zakat mungkin hanya kita temukan dalam buku
sejarah.
Jika
demikian hakikat zakat di dalam Islam, maka tidak
harus wujud sebarang bentuk halangan pada perlaksanaan
zakat di negara ini melainkan kejahilan dan ketidaksungguhan
kita sebagai insan yang daif.
|