SekapurSirih

Selamat Maal Hijrah 1430 dan Tahun Baru Masihi 2009. Alhamdulillah kita telah diizinkan oleh Allah s.w.t untuk melangkah masuk ke tahun baru yang akan menjadi lebaran baru dalam antara perjalanan hidup kita ini. Sudah semestinya banyak peristiwa pahit dan manis yang telah kita lalui sepanjang tahun 2008 yang lalu akan menjadi catatan sejarah dalam hidup kita. Yang baik akan kita gunakan untuk panduan pada masa akan datang manakala yang tidak baik akan menjadi iktibar dan pengajaran.

Bagi kita rakyat Malaysia, sesungguhnya kesejahteraan yang kita kecapi selama ini amatlah disyukuri. Walaupun ada di kalangan kita yang menikmati sesuatu yang kurang jika dibandingkan dengan yang lebih bernasib baik, namun itu bukan ukurannya. Apa yang penting ialah keamanan, keharmonian dan peluang untuk kita meneruskan kehidupan ini. Kita beruntung kerana kehidupan kita tidaklah sesusah sepertimana yang dialami oleh umat Islam di negara lain.

Peristiwa yang menyayat hati tatkala kita dalam suasana bersemangat menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, ratusan penduduk Islam Gaza, Palestin terkorban angkara keangkuhan dan kekejaman rejim Israel mengebom Semenanjung Gaza. Kita juga melihat bagaimana kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh umat Islam di Afghanistan dan Iraq akibat percaturan kuasa besar dunia. Turut terpahat di hati kita kemelaratan hidup dan kebuluran umat Islam di Darfur,Sudan. Penindasan dan tekanan yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam di beberapa buah negara yang lain di dunia pada masa kini.

Dalam hati kecil kita tentu akan bertanya kenapa ia berlaku? Kehidupan mereka yang sekiblat dengan kita begitu tercabar sekali didunia ini. Apakah Allah hendak mengingatkan kita? Pelbagai soalan boleh kita lontarkan namun hakikatnya semua peristiwa ini telah ditakdirkan-Nya. Justeru, apakah yang harus kita buat dan ambil iktibar daripada nya?

Muhasabah Diri


Pada awal tahun sebegini amat wajar bagi kita memulakannya dengan membuat penilaian tentang apa yang ada pada diri kita. Muhabasah begini adalah bertujuan supaya kita dapat mengenali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada pada diri kita dalam menghadapi tahun baru 2009 ini dengan lebih cekal, tabah dan bersyukur. Sepertimana yang sentiasa diuar-uarkan, tahun 2009 ini dunia akan menghadapi kedudukan ekonomi yang tidak menentu akibat krisis kewangan pada peringkat global. Ini secara langsung akan banyak mempengaruhi kehidupan kita khususnya dari segi peluang rezeki dan kos kehidupan yang semakin meningkat. Baru-baru ini juga kita difahamkan, beberapa buah syarikat sudah mula mengurangkan warga kerjanya sehingga ada yang terpaksa diberhentikan. Sekelumit kisah ini sudah cukup memberi ketukan kepada diri kita betapa bersyukurnya kita yang masih lagi dapat meneruskan kehidupan ini pada tahap cabaran yang tidak seberat yang dihadapi oleh umat Islam dirantau lain.

Rasa Syukur


Bersyukur adalah suatu sifat yang mulia. Seseorang yang bersyukur adalah seorang yang memiliki akhlak yang terpuji. Bersyukur bermakna sandaran terima kasih atau rasa terhutang kepada Allah SWT kerana rahmat dan nikmat-Nya. Rasa terhutang kepada Allah SWT tidak boleh dibayar seperti manusia berhutang dengan manusia.

Hutang kita kepada Allah SWT menuntut penunaian. Apabila pedoman Allah SWT dipatuhi, batasan salah-benar, halal-haram, baik-buruk, maaruf-mungkar dipatuhi dan diikuti sempadannya bermakna kita melangsaikan hutang dengan Allah SWT. Hutang itu apabila dilangsaikan ia memberi faedah kepada kita kembali.

Allah SWT memberikan kita rahmat hati, dan hati itu digunakan sebagai neraca menyuburkan niat dan hajat yang baik, maka kebaikanlah yang akan kita lakukan. Nikmat daripada kebaikan yang diamalkan menjadikan seseorang itu ceria dan tenang dalam melakukan apa sahaja kerana kebaikan dihubungkan dengan Allah SWT.

Sebaliknya jika pedoman Allah SWT tidak dipatuhi hutang kita akan bertambah. Malah melanggar hukum-Nya menyebabkan dosa bertambah dan ia memberi kesan buruk kepada kita. Persoalannya, adakah kesengsaraan yang berlaku kepada penduduk Islam seperti yang telah diterangkan tadi disebabkan oleh kesalahan orang Islam itu sendiri? Allah SWT lebih mengetahui dan kita sebagai hamba-Nya sewajarnya menjaga kemuliaan yang telah berikan kepada kita dan jika kemuliaan itu tidak dijaga, sudah pasti kita akan menanggung akibatnya.

Penambahbaikan Berterusan dan Saling Hormat Menghormati
Setiap kali menjelang tahun baru, keghairahan untuk menambahbaik ke atas usaha diri amat dirasai. Walaupun tidak dalam bentuk janji dan sekadar secara lafaz ikrar peribadi, namun ia sudah cukup sebagai bukti bahawa seseorang itu ada niat untuk mengubah dan menambahbaik dirinya. Ini kerap berlaku kepada diri kita kerana kesedaran itu amat penting sekali untuk untuk memulakan langkah ke arah perubahan diri. Dalam usaha kita hendak berubah, semestinya cabaran adalah hakikat yang perlu ditempuhi dengan tabah dan kreatif. Segala tindakan kita sewajarnya mempunyai nilai yang boleh membangun diri serta memberi semangat untuk terus berjaya dalam kehidupan ini. Selain itu, kita hendaklah sentiasa melihat sesuatu pada perspektif jangka panjang dan tidak akan terburu-buru untuk membuat sesuatu keputusan. Sebarang keputusan akan hanya dibuat setelah mempertimbangkan sesuatu dengan lebih mendalam. Dengan langkah yang sedemikian, Insya-Allah usaha menambahbaik diri akan sentiasa tertanam sejajar dengan sebuah Hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Hari ini hendaklah lebih baik daripada semalam dan esok hendaklah lebih baik daripada hari ini.”

Hakikatnya, usaha penambahbaikan diri turut menekankan aspek hormat menghormati sesama insan jika kita hendak berjaya. Bermula dengan menghormati diri sendiri akan membentuk tindakan kita untuk turut menghormati orang lain. Setiap tahap kedudukan seseorang hendaklah kita hormati sebagaimana kita mahu orang lain menghormati kita. Dengan adanya rasa hormat ini maka wujudlah perhubungan manusia dengan manusia dalam keadaan yang harmoni dan saling percaya mempercayai di antara satu sama lain. Ini juga akan dapat mengembleng persefahaman dan tindakan yang akan membentuk masyarakat penyayang dan saling berkerjasama ke arah kesejahteraan hidup di dunia ini.

Sedar atau tidak hidup kita sebagai manusia di alam fana ini tidak akan terlepas menerima nikmat dan rahmat daripada Allah SWT. Nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita tidak terhitung banyaknya. Justeru itu, kita sebagai manusia sewajarnya bersyukur dengan menerapkan ke dalam minda kita bahawa semua nikmat yang ada pada diri sebagai seorang hamba baik yang zahir mahupun yang batin semuanya daripada Allah SWT sebagai pemberian yang tidak ternilai.

Dalam kedudukan ekonomi yang tidak menentu yang mana akan banyak mempengaruhi rezeki dan kos kehidupan kita, mungkin ada dikalangan kita beralasan bahawa mereka tidak dapat membayar zakat kerana rizab pemilikan mula berkurangan dan belanja untuk menampung kehidupan sudah bertambah. Hakikat itu tidak dinafikan namun jangan lupa bahawa nikmat Allah SWT tidak akan mampu kita bayar. Adapun pembayaran zakat sekadar 2.5% daripada harta yang sudah cukup syaratnya tidaklah sebesar nikmat yang telah kita perolehi daripada Allah SWT selama ini.

Memang berat untuk membahagikan sedikit wang bagi menunaikan rukun Islam yang ketiga ini, tetapi yakin dan percayalah keikhlasan kita untuk membayar itu akan memberi keberkatan kepada setiap rezeki kita. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sudah semestinya Allah sahajalah yang dapat menolong kita. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” Surah Al-Fatihah: ayat 5

Wallahu a’lam bissawab