Wakaf

Wakaf merupakan salah satu amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. ia merupakan amal soleh yang pahalanya tidak akan putus-putus diberikan Allah kepada pewakaf, selama harta atau ain yang diwakafkan itu masih kekal dimanfaatkan.

Perkataan “WAKAF” berasal daripada bahasa Arab waqf yang bererti “menghentikan” atau “menahan”. Ertinya, seseorang menghentikan hak milik sesuatu harta dan menahan diri daripada menggunakannya dengan cara menyerahkan harta itu kepada pengelola untuk digunakan bagi kepentingan umum.

WAKAF AM

Wakaf Am merujuk kepada amalan menyerah harta wakaf kepada pihak pentadbir wakaf dengan tidak menyatakan sesuatu tujuan tertentu dalam perwakafan hartanya. Dalam erti kata lain, harta itu boleh dibangunkan bagi apa-apa maksud, asaklan ianya sesuai dengan kehendak syarak.

WAKAF KHAS

Wakaf Khas ialah wakaf yang diasaskan kepada tujuan pewakaf secara spesifik semasa menwakafkan hartanya. Pewakaf akan menyatakan secara spesifik tujuan wakaf itu seperti wakaf khas untuk pembinaan masjid, surau, perkuburan dan sebagainya. Ini bermakna, harta wakaf tersebut hendaklah digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan secara khusus itu.