Zakat Perniagaan

Zakat Perniagaan

  • Perniagaan adalah salah satu usaha yang dikenakan zakat apabila cukup syarat-syaratnya.
  • Apa yang dimaksudkan “perniagaan” ialah satu usaha pertukaran harta untuk mendapatkan harta dengan cara jual beli. Termasuk dalam erti perniagaan ialah sebarang perusahaan yang bernilai untung dan rugi.
  • Manakala zakat perniagaan pula bermaksud zakat yang wajib dikeluarkan dari harta atau barang perniagaan yang dibeli dan dijual dengan tujuan diperniagakan sama ada berbentuk “barang” atau perusahaan yang diharuskan dalam Islam.
  • Perlu diingat bahawa zakat perniagaan itu wajib dan hendaklah dibayar kerana Allah dan bukannya kerana sebab lain. Lazimnya zakat perniagaan amat sedikit jika dibandingkan dengan kos-kos perniagaan yang lain.

Dalil-dalil Mewajibkan Zakat Perniagaan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Orang-orang yang kuat imannya tidak akan melalaikan ibadahnya kepada Allah iaitu melaksanakan sembahyang lima waktu dan menunaikan zakat walaupun mereka sibuk dengan perniagaan dan jual beli kerana mereka takut pada hari kiamat yang akan menggoncangkan segala hati dan pandangan mereka waktu itu“.

Allah membalas dengan sebaik-baik balasan di atas semua yang mereka telah kerjakan malah Allah menambah mereka dari limpah kurniaNya, dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung“.

(An-Nur: 37-38)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Adalah Rasulullah s.a.w. menyuruh kami mengeluarkan zakat dari harta benda yang kami sediakan untuk dijual“.